fbpx

Budak 11 tahun buat laporan polis, bapa tiri didakwa mencabul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya berusia 11 tahun bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh yang berusia 37 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk tersebut ke atas mangsa di sebuah rumah di Cheras di sini pukul 12 tengah hari pada 19 Oktober lalu.

Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Atiqa Nazihah Azmi tidak menawarkan jaminan dengan alasan tertuduh dan mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dan tinggal bersama.

“Namun, sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis selain dilarang mendekati mangsa, keluarga dan saksi.

“Tertuduh juga tidak boleh tinggal serumah dengan mangsa sehingga kes ini selesai,” katanya.

Peguam K. Narandra daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon supaya jaminan dibenarkan selain bersetuju dengan syarat tambahan yang ditetapkan pihak pendakwaan.

“Anak guam saya akan tinggal di rumah abangnya dan mangsa pula akan dihantar ke sekolah asrama. Tertuduh akan diikat jamin oleh isterinya yang juga ibu mangsa dalam kes ini,” kata peguam itu.

Hakim Azrul kemudian bertanya laporan polis kes ini dibuat oleh siapa dan Atiqa memaklumkan laporan dibuat oleh mangsa sendiri.

Hakim Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Disember ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI