KUALA LUMPUR – Polis merekodkan 39 kematian di seluruh negara ekoran terbabit kemalangan maut sepanjang tempoh dua hari sambutan perayaan Deepavali.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, perayaan pada 30 dan 31 Oktober lalu itu merekodkan sebanyak 38 kemalangan maut.
Katanya, sebanyak 1,882 kes kemalangan, 15 kemalangan maut dan 16 kematian direkodkan pada Rabu.
“Pada Khamis pula direkodkan 1,386 kes kemalangan, 23 kemalangan maut dan 23 kematian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pecahan tertinggi jumlah kematian bagi tempoh dua hari itu melibatkan motosikal sebanyak 32 orang.
“Seterusnya diikuti dengan kereta (4 orang), lori (1 orang), basikal (1 orang) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) (1 orang),” katanya.
Tambah berkata, kemalangan harian menurun sebanyak 496 kes, namun berlaku peningkatan kemalangan maut iaitu 23 kes.
“Jumlah kematian juga meningkat sebanyak tujuh orang,” ujarnya.
Tegas Mohd. Yusri, JSPT menyarankan kepada semua pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada di tahap yang terbaik serta mematuhi segala peraturan.-KOSMO! ONLINE.