GEORGE TOWN – Sebanyak 11 buah motosikal musnah dalam satu kebakaran melibatkan sebuah garaj yang menyimpan kenderaan tersebut di Lengkok Kampung Jawa 2, Bayan Lepas, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.51 pagi itu, sebuah lori turut dilaporkan terbakar dan tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihak bomba terus bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu.
”Apabila pasukan bomba tiba di tempat kejadian didapati terdapat kebakaran garaj motosikal (kelas C) dengan anggaran kemusnahan semasa 90 peratus.
“Kebakaran turut melibatkan 11 buah motosikal dengan anggaran peratusan kemusnahan 90 peratus, turut terbakar ialah sebuah lori dengan anggaran peratusan kemusnahan 10 peratus,” katanya di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE