PETALING JAYA – Orang ramai meluahkan rasa kecewa apabila terdapat beberapa pusat beli-belah bertindak mempamerkan perhiasan sambutan Halloween berbanding perayaan Deepavali.
Menerusi sebuah video dimuat naik seorang pengguna TikTok, Pavidra berkata, keadaan itu dapat dilihat berlaku pada tahun ini berikutan perayaan Deepavali jatuh pada tarikh yang sama seperti Hari Halloween iaitu pada 31 Oktober.
Katanya, perkara tersebut bagaimanapun menimbulkan persoalan berikutan sambutan Hari Halloween bukanlah adat mahupun budaya rakyat Malaysia.
“Mentang-mentanglah Halloween jatuh dekat Deepavali, siap ada ‘mall’ yang hias besar-besaran untuk Deepavali tu diketepikan.
“Kalau tak nak layan Deepavali pun tak ada masalah, tapi sejak bila Halloween tu jadi festival dekat Malaysia?,” soalnya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna bersetuju dengan video tersebut selain turut berkongsi keadaan sama di pusat beli-belah yang mereka kunjungi.
“Betul, perhiasan Deepavali memang kurang tapi perhiasan Halloween lebih meriah. Baru semalam pegi pusat beli-belah di Gurun, Kedah,” kata Suni.
“Sedih pergi satu pusat beli-belah di Shah Alam, sikit saja perhiasan Deepavali. Sebab anak-anak memang teruja tiap kali ada perayaan,” kata Julaiha.
“Betul, sejak bila kita sambut Halloween? Kawan saya agama Kristian pun tak sambut,” kata Jane.
Asal-usul Halloween asalnya merupakan perayaan Celtic purba yang dikenali sebagai Samhain, yang diadakan pada 1 November dalam kalendar kontemporari.
Perayaan itu disambut kerana ketika itu dipercayai roh orang mati pulang ke rumah mereka, jadi orang ramai akan memakai kostum dan menyalakan unggun api untuk menghalau roh.
Justeru, hiasan Halloween yang popular seperti ahli sihir, hantu dan bunian dikaitkan dengan perayaan tersebut. – KOSMO! ONLINE
@pavidraroganathan Tak layan deepavali tu dah biasa, tapi kenapa Halloween diraikan? #deepavali #diwali #halloween #malaysia #agama #islam #hindu #buddha #christian ♬ original sound – Pavidra