JITRA – Hasrat tiga gadis untuk ‘healing’ dengan mendaki Bukit Kodiang atau nama popularnya Bukit Mok Cun di Kodiang dekat sini hari ini terbantut apabila mereka tersesat dengan salah seorang mengalami kecederaan.
Ketiga-tiga mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an membuat panggilan kepada bomba sebelum diselamatkan di bukit berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.46 tengah hari sebelum 10 anggota dari balai itu dikejarkan ke lokasi.
“Tindakan awal dilakukan dengan lima anggota bomba bersama anggota polis dan Rela naik ke bukit itu. Mereka ditemui oleh malim gunung dengan salah seorang mengalami kecederaan pada bahagian kaki.
“Operasi dilakukan bagi membawa mangsa turun dengan selamat ke kaki bukit,” katanya yang memberitahu operasi tamat pada pukul 2.50 petang. – KOSMO! ONLINE