PETALING JAYA – Makin panas, krisis rumah tangga pasangan pelakon Farid Kamil dan Diana Danielle terus menjadi perhatian apabila aktres itu menafikan dakwaan suaminya bahawa mereka masih berhubung.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, bahkan meminta Farid menghormati permintaannya agar segera berpindah dari kediaman memandangkan mereka bakal bercerai.
Kami tidak bercakap menerusi telefon semalam. Saya sudah beri notis dalam WhatsApp untuk dia (Farid) pindah rumah secepat mungkin kerana akan lalui proses perceraian.
“Saya tidak akan benarkan hal yang tak pernah berlaku dikatakan berlaku. Saya juga tidak mahu sebumbung lagi seperti yang sudah dimaklumkan sendiri kepadanya. Sila hormati,” katanya menerusi perkongsian dalam InstaStory.
Kenyataan pelakon filem Imaginur itu dikeluarkan susulan dakwaan Farid yang membuat pengakuan mereka masih lagi berhubung dan tinggal sebumbung.
Malah, pelakon dan pengarah terbabit turut menyifatkan kemelut rumah tangga yang berlaku buat kali kedua bersama isterinya itu sekadar perselisihan faham kecil.
Isnin lalu, Diana membuat kejutan apabila mengumumkan mahu memfailkan perceraian buat kali kedua menerusi perkongsian dalam Instagram Story.
Difahamkan, ketika itu Farid sedang menjalani penggambaran filem baharu bertajuk Bisikan Dosa di Kuang, Selangor.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana memfailkan permohonan cerai di mahkamah yang sama iaitu Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Alasan diberikan adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Farid atau nama lengkapnya, Farid Kamil Zahari, 43, dan Diana sah bercerai talak satu menerusi aplikasi Google Meet pada 10 Ogos 2023, namun mereka rujuk sebulan kemudian.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – KOSMO! ONLINE