KEMAMAN – Seorang lelaki berpura-pura menjadi pelanggan sebelum disyaki mencuri sebuah telefon pintar jenis Iphone di sebuah kedai menjual aksesori peralatan telekomunikasi di Jalan Batu 2, Chukai di sini semalam.
Perbuatan suspek berusia dalam lingkungan terbabit 30-an melarikan telefon pintar jenis Iphone XS Max pada pukul 2.08 petang itu dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pekerja kedai menjual aksesori telekomunikasi berkenaan memeriksa rakaman CCTV setelah menyedari telefon pintar terbabit yang diletakkan di dalam galeri meja perkhidmatan pada pukul 8 malam.
“Suspek dikatakan mengunjungi premis kedai tersebut kononnya mahu mendapatkan perkhidmatan memasang ‘tinted’ (lapisan pelindung) skrin telefon bimbitnya.
“Berdasarkan rakaman CCTV, dia dilihat mengambil telefon pintar jenis Iphone XS Max tersebut sewaktu pekerja premis itu sedang sibuk mengambil aksesori telefon bimbit dimahukan suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, pekerja premis perniagaan terbabit telah membuat laporan polis di Balai Polis Chukai di sink pada pukul 12.30 tengah malam tadi.
Beliau berkata, gerakan memburu suspek terlibat dalam kes kecurian telefon bimbit itu sedang giat dilakukan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE