KUCHING – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menyatakan persetujuan untuk Petroleum Sarawak Berhad (Petros) mengambil alih sebagai agregator gas tunggal di Sarawak.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu dimaklumkan secara tidak rasmi oleh Petronas kepada Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi, susulan rundingan antara kedua-dua syarikat minyak dan gas itu berakhir hari ini.
“Bermakna kita akan teruskan usaha sebagai agregator gas dan perinciannya akan dibincang lebih lanjut.
“Secara prinsip, mereka setuju hanya Petros sebagai agregator gas tunggal,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi rumah terbuka Deepavali Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira di sini, hari ini.
Sebelum ini, Abang Johari menyatakan rundingan antara Petronas dan Petros berhubung pengagihan gas asli di Sarawak dijangka berakhir pada 31 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE