fbpx

Maut direnjat elektrik ketika ambil umpan pancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Hariyz Akief maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Tanjung Putus, di Kuala Nerang semalam.

KUALA NERANG – Seorang pelajar maut manakala empat rakannya cedera setelah kesemua mereka terkena renjatan elektrik di Kampung Tanjung Putus, di sini semalam.

Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, Asisten Superintenden Mohd. Yukhrul Mohd. Yusoff berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6.30 petang di kawasan bendang kampung tersebut.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa, Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, bersama empat rakannya berusia antara 15 hingga 19 tahun cuba mengambil umpan pancing tiruan yang tersangkut di kabel elektrik.

“Bagi mendapatkan umpan tiruan itu, salah seorang daripada remaja tersebut berdiri di atas tempat duduk motosikal dan cuba mengaitnya menggunakan sebatang galah aluminium, manakala mangsa yang maut bersama rakan-rakan lain, memegang kenderaan berkenaan agar stabil.

“Secara tiba-tiba, mereka berlima terkena renjatan elektrik hingga kesemuanya pengsan. Empat rakannya kembali sedar tidak lama kemudian, namun mangsa didapati terus tidak bergerak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, kesemua remaja terlibat kemudiannya terus dibawa ke Hospital Kuala Nerang oleh penduduk kampung bagi mendapatkan rawatan.

“Setibanya di hospital, pegawai perubatan mengesahkan yang mangsa telah meninggal dunia. Jenazahnya kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi dibedah siasat hari ini. Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Empat mangsa yang cedera dipercayai masing-masing melecur di badan, muka dan kaki dengan kesemua mereka turut dipindahkan ke HSB bagi menjalani rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI