KLANG – Nasib malang lima wanita yang dipercayai menjadi buruh paksa berakhir selepas diselamatkan dalam serbuan di sebuah rumah sekitar daerah ini, kelmarin.
Kesemua terdiri empat warga India dan seorang warga Indonesia berusia 32 hingga 47 tahun itu dikatakan dieksploitasi ejen pembantu rumah yang tidak berdaftar dan berlesen.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan mangsa-mangsa berkenaan dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah yang sah di negara ini.
Katanya, siasatan awal mendapati ejen tersebut dipercayai menjadi dalang aktiviti pemerdagangan manusia dengan menjadikan premis tersebut sebagai rumah transit sebelum mangsa dibekalkan kepada majikan.
“Modus operandi ejen adalah dengan membawa masuk warga asing dari India, Sri Lanka dan Indonesia dan dijanjikan pekerjaan dengan kos perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh ejen.
“Ini supaya mangsa terikat dan perlu membayar semula kos perbelanjaan dan tambahan bayaran perkhidmatan lain melalui potongan gaji,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah JIM, ketika pemeriksaan, kesemua wanita warganegara India itu disembunyikan di dalam tandas bagi mengelakkan ditemui oleh anggota operasi.
Ujarnya, mangsa dipercayai tinggal di rumah tersebut selama hampir tiga minggu sementara menunggu dibekalkan kepada majikan yang baharu.
Turut dijumpai sepanjang operasi adalah beberapa pasport milik orang lain di salah sebuah bilik di premis.
“Hasil siasatan terhadap kesemua mangsa mendapati mereka dijanjikan pendapatan antara RM1,300 hingga RM1, 500 sebulan dan gaji juga turut dipotong untuk urusan pas.
“Kebanyakan mereka telah bekerja di Malaysia sejak dua tahun yang lalu dan masih belum mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah dan kontrak kerja seperti yang dijanjikan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, JIM berkata, operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang, National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
“Seorang ahli keluarga kepada ejen haram ini telah dipanggil untuk membantu siasatan.
“Dalang utama iaitu seorang wanita tempatan yang telah dikenalpasti berada di luar negara akan ditahan sebaik tiba di Malaysia kelak dengan bantuan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ” tegasnya. – KOSMO! ONLINE