KUALA LUMPUR – Siasatan pihak polis berhubung penemuan Mykad di Levadne, Zaporizhia, Ukraine diteruskan dengan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Kedutaan Russia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan itu telah diambil oleh Jabatan Cawangan Khas PDRM.
“PDRM melalui Cawangan Khas telah berhubung dengan Kedutaan Russia di sini (Malaysia).
“Kita masih menunggu maklum balas mereka (kedutaan) untuk pengesahan dakwaan berkenaan termasuklah status warga tempatan yang dikaitkan dengan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, PDRM juga ada berhubung dengan pihak keluarga individu terbabit.
Bagaimanapun, kata Razarudin, pihak keluarga memaklumkan individu itu hanya belajar di sana (luar negara).
Tegasnya, tindakan sedang diambil oleh pihak PDRM dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi selain diingatkan untuk tidak terlibat dengan mana-mana ‘pejuang asing’.
Terdahulu, tular sekeping gambar yang menunjukkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.
Ia didakwa ditemukan selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia, Ukraine. – KOSMO! ONLINE