PETALING JAYA – Ibu bapa diingatkan supaya menjadi sumber kekuatan bagi anak-anak.
Menerusi hantaran Public Health Malaysia, sebagai ibu bapa adakalanya tanpa sedar golongan tersebut mudah menggelarkan anak sebagai ‘gagal’.
Lebih teruk apabila ada dalam kalangan ibu bapa yang mula membandingkan pencapaian dengan anak orang lain.
“Namun, tahukah kita bahawa label ‘gagal’ itu boleh menghancurkan semangat mereka (anak-anak)?
“Dari segi psikologi, anak-anak yang merasakan diri mereka gagal cenderung membentuk rasa tidak yakin pada diri dan mula meragui kemampuan sendiri,” kata hantaran itu.
Menurut hantaran sama, sebagai ibu bapa, mereka perlu menjadi sumber kekuatan anak-anak dengan cara memberikan pelukan dan kata-kata semangat, kerana anak-anak lebih memerlukan kasih sayang berbanding kritikan.
“Jika anak-anak bertanya, ‘ibu, ayah… apa maksud sebenar gagal?’ Ingatkan mereka, gagal itu bukan pada gred yang tertulis’.
“Gagal itu hanya terjadi apabila kamu berhenti mencuba. Selagi kamu terus bangkit dan berusaha, kamu tidak pernah gagal,” katanya.
Katanya, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak bahawa perjalanan mereka masih panjang, dan selagi tidak berputus asa, selagi itu ada peluang untuk berjaya. – KOSMO! ONLINE