fbpx

F:30 FAM tidak gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIMBALAN Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram anggap Peta Hala Tuju F:30 tidak gagal dan kini masih berada di landasan betul. - FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Kegagalan skuad B-16 dan B-19 kebangsaan pada kempen kelayakan Piala Asia tahun ini tidak mencerminkan Peta Hala Tuju F:30 gagal mencapai matlamat.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram menjelaskan Peta Hala Tuju F:30 yang mula dilancarkan pada 31 Oktober 2018 harus dilihat secara holistik.

“Berdasarkan graf Peta Hala Tuju F:30 ini, sebenarnya banyak pencapaian telah dicapai terutamanya pada Fasa 1.

“Tetapi kita tidak boleh membuat penilaian hanya bersandarkan kepada prestasi kedua-dua pasukan remaja pada kempen Kelayakan Piala Asia.

“Apa yang boleh saya katakan, kita masih berada di landasan yang betul bersandarkan kepada beberapa pencapaian pada Fasa 1.

“Jadi untuk mengatakan Peta Hala Tuju F:30 gagal, itu tidak benar. Kita masih ada masa enam tahun lagi untuk melihat kejayaan pada penghujung tahun 2030,” katanya.

Sivasundaram menjelaskan terdapat beberapa perancangan berjaya dilaksanakan dengan sempurna hingga mendapat pengiktirafan daripada badan induk antarabangsa.

“Contohnya, Liga Suparimau yang diperkenalkan mulai 2021 telah mendapat pengiktirafan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila memenangi anugerah bagi kategori grassroots.

“Bola sepak wanita pula mula menunjukkan petanda baik apabila pasukan Sabah berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila layak beraksi buat kali pertama pada kejohanan Liga Juara-Juara Wanita AFC tahun ini.

“Malah, sukan futsal juga tidak ketinggalan menampakkan perkembangan positif apabila Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) Divisyen 2 julung kali dianjurkan mulai tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI