LONDON – Pengacara televisyen popular, Piers Morgan mengakui bahawa segala kritikan yang dilemparkan oleh Cristiano Ronaldo terhadap bekas pengurus Manchester United, Erik Ten Hag adalah benar selepas pemecatannya kelmarin.
Sejak temu bual yang dilangsungkan bersama Ronaldo sebaik pemain itu meninggalkan Old Trafford, Morgan menjadi individu yang cukup lantang mengkritik gaya pengurusan pengendali United berusia 54 tahun itu.
“Semua perkataan yang diucapkan oleh Ronaldo mengenai Ten Hag dalam sesi temu bual berkenaan adalah tepat dan tidak silap.
“Beliau mendapat pengiktirafan yang keterlaluan, berada dalam khayalan, tidak tahu menghormati orang lain serta berada pada tahap pengurus yang biasa dan tidak mampu untuk mengendalikan kelab sebesar United yang dipenuhi bakat hebat.
Pihak pengurusan United kelmarin membuat keputusan memecat Ten Hag selepas prestasi buruk dipamerkan pasukan itu pada awal musim ini apabila hanya mengumpul 11 mata dalam sembilan perlawanan termasuk merakam kekalahan keempat ketika tewas 1-2 kepada West Ham United pada Ahad lalu.
Sepanjang dua musim mengendali The Red Devils, Ten Hag berjaya menghadiahkan United dengan dua trofi selepas meraih kejuaraan Piala Liga Inggeris pada musim pertamanya sebelum menjulang Piala FA musim lalu. – AGENSI