PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di empat buah negeri pagi ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, amaran itu dikeluarkan susulan hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di seluruh Pulau Pinang serta beberapa daerah di Kedah, Perak, dan Sarawak sehingga 1 tengah hari nanti.
“Amaran dikeluarkan di Kedah melibatkan daerah Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
“Selain itu, ribut kencang juga dijangka berlaku di Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung dan Bagan Datuk di Perak,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, di Sarawak, amaran dikeluarkan melibatkan daerah Kuching, Betong, Sarikei (Sarikei), Mukah, Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE