JAGUH badminton beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mahu bangkit meraih kemenangan pada tiga kejohanan utama bulan depan bagi memperkukuhkan kedudukan untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China.
Aaron berkata, tiga kejohanan itu menjadi sasaran utama selepas Wooi Yik pulih sepenuhnya daripada kecederaan jari kaki kanan yang dialami sewaktu beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurutnya, kejohanan itu adalah saingan Korea Masters dari 5 hingga 10 November, Kumamoto Masters di Jepun dari 12 hingga 17 November dan China Masters dari 19 hingga 24 November.
“Kecederaan Wooi Yik sudah pulih sepenuhnya dan kami sudah mula menjalani persiapan rapi. Sejak balik dari Olimpik Paris yang lalu, kita tidak sertai sebarang kejohanan.
“Tiga kejohanan utama bulan depan di Korea, Jepun dan China kita akan berikan tumpuan utama. Kami ada sasaran, tetapi tidak semestinya untuk menang kerana kita fokus daripada satu kejohanan ke kejohanan yang lain,” katanya.
Aaron ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Insentif Kemenangan Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak Ke-21 di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini, semalam.
Aaron yang memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 muncul sebagai penerima terbesar insentif sumbangan kerajaan negeri iaitu berjumlah RM50,000.