fbpx

1BestariNet: Siasatan dilaksanakan secara profesional, adil – Azam Baki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara profesional serta adil terhadap YTL Communications Sdn Bhd (YTL) membabitkan tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan (KPM) bernilai RM4.07 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya komited menjalankan siasatan berkenaan selepas menerima aduan melibatkan beberapa dakwaan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melanggar peruntukan undang-undang termasuk Akta SPRM 2009.

“Suruhanjaya ini komited untuk menjalankan siasatan secara profesional dan adil bagi semua pihak yang terlibat.

“Dalam menjalankan siasatan ini, SPRM akan mematuhi proses yang sewajarnya,” katanya sebagai tindak balas kenyataan dikeluarkan YTL Power Sdn Bhd semalam.

Justeru, beliau meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi ekoran siasatan masih berlangsung.

“Kami juga akan mempertimbangkan pembelaan yang dikemukakan oleh YTL.

“Pada masa ini, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan, kerana siasatan ini melibatkan pertikaian teknikal berkaitan penyampaian projek antara KPM dan YTL Communications.

“SPRM akan berusaha untuk mempercepatkan siasatan ini sebaik mungkin,” ujarnya lagi.

Semalam, YTL Power menjelaskan pihaknya telah diberikan projek 1Bestarinet melalui proses tender terbuka sekali gus menepis tuduhan salah laku.

Syarikat utiliti elektrik itu memaklumkan tender tersebut diberikan apabila bidaan pihaknya adalah yang paling mematuhi teknikal dan efektif dari segi kos berbanding kalangan 18 pembida, menunjukkan keupayaan dan merit syarikat.

Pada 18 Oktober lalu, media melaporkan SPRM perlu melihat beberapa isu tatakelola dalam pemberian tender membabitkan projek 1BestariNet sebelum memanggil pihak berkaitan termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, SPRM telah mengadakan perjumpaan dengan bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik melibatkan isu berkenaan.

Terdahulu, SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI