PETALING JAYA – Rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan beberapa pemandu jalan raya yang prihatin menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada menjadi mangsa kemalangan.
Menerusi satu klip video yang dikongsi di laman sosial, kelihatan beberapa pengguna jalan raya telah mengelak dan memberhentikan kenderaan masing-masing selepas melihat seorang kanak-kanak berada di tengah-tengah jalan raya.
Beberapa orang pemandu juga dilhat berlari meluru ke arah kanak-kanak tersebut untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut daripada dilanggar kenderaan lain.
Berdasarkan rakaman terbabit kejadian tersebut berlaku hari ini dan difahamkan ia dirakam di sebuah kawasan di sekitar Serian, Sarawak.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna memuji tindakan yang diambil para pemandu tersebut dan menyifatkan ia adalah satu tindakan cepat demi menyelamatkan nyawa kanak-kanak tersebut.
“Tiada seorang pun yang teruskan perjalanan semua pakat berhenti nak tolong. Sikap prihatin rakyat Malaysia,”tulis Faizul Pekha.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Kay Niezam.
“Terima kasih orang baik, masyarakat yang prihatin semua ‘support’ buat hadangan tolong anak kecik tu. Syabas rakyat Malaysia, macam mana terlepas tengah jalan tu,”katanya.-KOSMO! ONLINE