LISBON – Kelab gergasi Portugal, Sporting Lisbon mendedahkan Manchester United sudah menyatakan minat untuk menandatangani ketua jurulatih, Ruben Amorim dengan menebus klausa kontrak mencecah €10 juta (RM47.4 juta).
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan awal pagi tadi, pengurusan Sporting berkata segala keputusan kini bergantung kepada Amorim sama ada mahu berhijrah ke Old Trafford atau sebaliknya.
“Manchester United telah menyatakan minat untuk menandatangani khidmat Amorim dan pengurusan tertinggi kelab sedang meneliti tawaran tersebut kerana klausa untuk menebus kontrak Amorim bernilai €10 juta.
“Manchester United memberi jaminan tidak mempunyai masalah untuk membayar klausa tersebut,” kata kenyataan itu.
Sebagai rekod, United kini mencari pengendali baharu selepas memecat Erik Ten Hag selepas kekalahan 1-2 mereka menentang West Ham United pada Ahad lalu sekali gus meletakkan United di kedudukan ke-14 saingan dengan hanya tiga kemenangan dalam sembilan perlawanan.
Susulan itu, United melantik bekas legenda pasukan, Ruud Van Nistelrooy untuk menjadi jurulatih interim sementara sehingga pengurus tetap dilantik dalam masa terdekat. – AGENSI