SIBU – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dan teman lelakinya, 44, ditahan kerana disyaki membuang bayi mereka di dalam tong sampah di kawasan lot kedai, Jalan Tong Sang, di sini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili, berkata, tangkapan ke atas kedua-dua suspek dibuat sejurus selepas pihaknya menerima laporan mengenai penemuan bayi berkenaan pada pukul 8.30 pagi semalam.
“Kedua-dua suspek akan dipohon reman hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Zulkipli berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan menjumpai bayi yang masih hidup di dalam tong sampah.
Katanya bayi lelaki itu juga masih dalam keadaan bertali pusat dan dipercayai dilahirkan kurang daripada 24 jam serta kemudiannya dihantar ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut. – KOSMO! ONLINE