KUALA LUMPUR – Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 yang beroperasi di Selatan Lebanon dijadual akan ditukar dengan pasukan Malbatt 850-12 secara berperingkat, November ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Force Commander (FC) Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) memaklumkan pertukaran itu membabitkan kesemua pasukan UNIFIL.
“Penghantaran pasukan Malbatt 850-12 akan dibuat secara berperingkat dari 6 November hingga 18 November.
“Penerimaan pasukan Malbatt 850-11 secara pula berperingkat dari 7 November hingga 19 November,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, pasukan Malbatt 850-12 akan meneruskan tugas dan tanggungjawab pasukan Malbatt 850-11 di bawah panji-panji dan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kata Khaled, ia sebagaimana protokol dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pasukan UNIFIL.
“Kementerian Pertahanan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada pasukan Malbatt 850-12.
“Sekalung penghargaan buat pasukan Malbatt 850-11 yang telah menggalas tugas dengan cemerlang sepanjang berada di kawasan tanggungjawab.
“Doa dan sokongan seluruh rakyat Malaysia mengiringi mereka dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.