fbpx

Pertuduhan dihadapi Najib tidak cacat, sah – Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini mendapati empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak cacat.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, dapatan mahkamah adalah pertuduhan yang dihadapi Najib, 71, sah dari segi undang-undang dan tidak mengelirukan, samar-samar mahupun prejudis.

“Saya dapati pertuduhan itu memenuhi semua kriteria undang-undang di bawah Kanun Tatacara Jenayah. Mahkamah mendapati, tertuduh tidak ‘terpedaya’ dengan tuduhan itu,” kata hakim.

Pada waktu kini, Hakim Collin masih membacakan dapatan kes dan belum memutuskan sama ada Najib perlu dibela diri atau dilepaskan daripada kesemua 25 pertuduhan.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama pada 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang membawa denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Sementara pembelaan bagi pihak bekas Ahli Parlimen Pekan ini, dibarisi peguam-peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Alaistair Brandah Norman dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI