fbpx

Permohonan bantuan baiki bumbung dipandang sepi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazelan menunjukkan bumbung rumahnya yang menunggu masa untuk runtuh ketika ditemui di Kampung Paya Mengkuang 2, Bukit Ramai, Melaka baru-baru ini.

MELAKA – Nyawa 12 sekeluarga di Kampung Paya Mengkuang 2, Bukit Rambai dekat sini bagai telur di hujung tanduk selepas terpaksa berteduh di bawah bumbung rumah yang ‘terburai’ akibat dipukul ribut, sejak tiga bulan lalu.

Menurut Mazelan Harun, 67, mahu atau tidak, keluarganya termasuk dua cucu berusia tiga dan tujuh tahun kini tidur bersama besen-besen tadahan air hujan susulan mereka berdepan kekangan kewangan untuk membaiki bumbung berkenaan.

“Saya merupakan pesara tentera dengan pencen hanyalah sekitar RM1,300 sebulan, memang tidak cukup jika nak baiki bumbung rumah yang roboh, anak-anak pula hanya dapat membantu menyediakan per­belanjaan harian sahaja.

“Memang bila-bila masa bumbung ini boleh jatuh menimpa kami tetapi apakan daya, saya telah meminta bantuan daripada beberapa pihak dan masih menunggu jawapan mereka,” katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Tambahnya, selepas diperiksa hampir seluruh struktur bumbung rumah itu telah rosak termasuk di bahagian hadapan, dapur dan bilik tidur.

“Saya telah bertanya kepada tukang rumah dan diberitahu bumbung ini perlu ditukar secara keseluruhan kerana kayu-kayunya telah rosak akibat di­pukul ribut serta dimakan anai-anai.

“Setiap kali hujan kami sekeluarga tidak dapat tidur kerana takut rumah ini roboh, kami hanya mampu berdoa agar di­lindungi dan diberikan kese­la­matan,” luahnya hiba.

Sementara itu, Pengerusi Sukarelawan Melaka, Ashwad Abd. Rahim turut hadir ke kediaman tersebut bagi membuat peni­laian bantuan segera yang dapat diberikan kepada keluarga Mazelan.

“Saya telah berhubung de­ngan Malaysia Relief Agency bagi berbincang mengenai saluran bantuan yang sesuai dan Insya-Allah kami akan cuba bantu secepat mungkin kerana rumah ini

sebenarnya tidak lagi selamat untuk diduduki, apatah lagi terdapat kanak-kanak di dalam­nya,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional 0414041000054946 milik Mazelan atau hubungi talian 019-6879 858.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI