MARAN – Seorang lelaki maut manakala anaknya cedera apabila motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer 65.5 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kejadian kira-kira pukul 8 malam itu berlaku ketika mangsa, B. Sivalingan dalam perjalanan dari arah Maran menghala ke Sri Jaya di sini.
“Apabila sampai di lokasi kejadian semasa motosikal sedang bergerak lurus tiba-tiba datang lori dari arah bertentangan membelok ke kanan masuk ke simpang menyebabkan mangsa tidak sempat membrek dan mengelak lalu terlanggar pada bahagian belakang sebelah kiri lori.
“Akibat perlanggaran tersebut penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng mengalami kecederaan dan sedang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Maran,” katanya di sini, hari ini.
Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian cuaca baik dan permukaan jalan kering. – KOSMO! ONLINE