KANGAR – Tiada sebarang penafian atau pengakuan dibuat oleh lelaki berhubung dakwaan individu yang tular sebagai tentera upahan di Ukraine merupakan ahli keluarganya.
Lelaki yang tinggal di sebuah taman perumahan di sekitar bandar ini juga enggan memberi komen mengenai individu yang dikenal pasti menerusi MyKad serta lesen memandu.
“No comment, no comment,” katanya ringkas di rumah dua tingkat yang kelihatan sunyi tanpa kehadiran ahli keluarga lain.
Semalam tular dua gambar di media sosial memaparkan MyKad dan lesen memandu didakwa milik rakyat Malaysia yang dikatakan ditemui di medan peperangan antara Ukraine dan Rusia.
Dokumen tersebut turut menunjukkan alamat berdaftar di sebuah kampung di Padang Besar namun tinjauan di mendapati rumah kedai di alamat tersebut telah lama ditinggalkan.
Kosmo! difahamkan premis berkenaan telah ditinggalkan kira-kira 10 tahun lalu dan penghuninya yang menjalankan perniagaan sebagai pemborong ayam telah berhijrah ke Thailand.-KOSMO! ONLINE