PETALING JAYA – Orang ramai berpeluang memenangi pemeriksaan kenderaan percuma dan mengenali lebih lanjut Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Karnival Jom Heboh (KJH) di Plaza Angsana, Johor Bahru bermula 1 hingga 3 November ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman, penyertaan Puspakom di KJH adalah julung kalinya diadakan bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali Puspakom dengan lebih dekat.
“Kami sangat teruja untuk memperkenalkan Unit Trak Bergerak atau juga dipanggil sebagai Mobile Truck Services (MTS) yang boleh menjalankan pemeriksaan kenderaan dan mengeluarkan laporan pemeriksaan yang sah.
“Istimewanya, MTS berkemampuan untuk bergerak ke mana-mana lokasi yang diperlukan bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu katanya, orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan sendiri bagaimana MTS beroperasi dan lebih memahami fungsi Puspakom secara langsung.
Jelas beliau, kemunculan Puspakom bersama unit bergerak di KJH ini adalah sebahagian daripada strategi pemasaran baharu syarikat itu yang bertujuan mendekatkan lagi mereka dengan masyarakat.
“Pengunjung juga berpeluang memenangi Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela (VVI) percuma untuk kenderaan persendirian.
“Pemeriksaan percuma ini melibatkan 25 bahagian pemeriksaan termasuk brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap, lampu, bahagian bawah dan atas kenderaan, ketelusan cahaya cermin, dan banyak lagi.
“Ini bagi memastikan kenderaan berada dalam tahap keselamatan yang optimum,” katanya.
Selain itu, Puspakom turut menawarkan Pemeriksaan Tukar Milik – M.V.15 (B5), Pemeriksaan Sewa Beli – B7, Pemeriksaan cukai Jalan Tamat Tempoh dan Pemeriksaan Import Terpakai/Baharu – B2 di karnival tersebut.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari media sosial Puspakom di Facebook, Instagram dan TikTok @puspakomofficial. – KOSMO! ONLINE