PUTRAJAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya rang undang-undang Parlimen Israel (Knesset) yang mengharamkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada beroperasi di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza.
Kementerian Luar dalam kenyataan menegaskan, Malaysia mengutuk tindakan ini sebagai serangan terang-terangan terhadap Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tamparan serius kepada masyarakat antarabangsa dan kehormatan sesebuah agensi kemanusiaan antarabangsa.
Katanya, Malaysia menegaskan sekali lagi bahawa rejim Zionis Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas negara Palestin yang dijajah, termasuk Baitulmaqdis, di mana kehadiran UNRWA diktiraf melalui perjanjian antara Palestin dan PBB.
“UNRWA ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB dan memainkan peranan penting dalam menyediakan talian hayat untuk lebih 5.9 juta rakyat Palestin di Palestin dan pelarian Palestin di seluruh Timur Tengah.
“(Agensi itu) menyediakan perkhidmatan kritikal dalam pendidikan, perawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan, terutamanya semasa konflik yang masih berterusan,” katanya hari ini.
Wisma Putra berkata, apa yang dikatakan rang undang-undang ini seolah-olah berniat menghalalkan tindakan rejim Zionis Israel yang sengaja dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa untuk menghapuskan UNRWA.
Jelasnya, ini merupakan sebahagian daripada strateginya untuk menafikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka seperti yang didukung oleh Resolusi Perhimpunan Agung PBB 194.
“Ia juga sebagai strategi untuk mendatangkan kebuluran kepada mereka yang terselamat daripada bencana kemanusiaan dan genosid di Gaza. Malaysia kekal teguh dalam komitmennya menyokong UNRWA.
“Masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan tegas dan segera terhadap rang undang-undang ini demi melindungi UNRWA, dan juga menamatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE