fbpx

Liga kompetitif peringkat remaja perlu ‘hidup’ – FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Skuad B-16 negara dikritik hebat selepas gagal layak secara merit ke Piala Asia B-17 2025 tahun depan. - Foto ihsan FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) enggan beri alasan ‘semberono’ selepas skuad B-16 kebangsaan gagal layak ke Piala Asia B-17 2025 tetapi mengakui ketiadaan liga kompetitif di peringkat akar umbi menjadi salah satu faktor utama kegagalan tersebut.

Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell berkata, ketiadaan liga kebangsaan pada usia B-15 dan B-16 yang sepatutnya menjadi platform terbaik buat pemain-pemain remaja mendapatkan minit permainan kompetitif secara tetap mungkin menjadi faktor utama.

“⁠Tiada alasan (gagal layak). Kami menjalani kem latihan pusat yang baik di Johor yang mana kami bermain tiga perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Singapura (menang 4-0) dan Tajikistan ( kalah 2-1 & seri 1-1).

“Tapi kami tidak cukup bagus pada aksi sebenar iaitu saingan kelayakan di Vientiane apabila tewas 2-0 kepada UAE dan seri 2-2 dengan tuan rumah, Laos.

“Secara jujur, kita akan terus bergelut untuk layak ke Piala Asia B-17 pada masa akan datang jika kita tidak mempunyai platform untuk pemain-pemain terbaik B-15 dan B-16 kita ini bermain perlawanan kompetitif secara tetap,” katanya.

O’Donell turut menambah bahawa kita perlu mempunyai pangkalan pemain yang lebih besar untuk dipilih dan bukan hanya bergantung pada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Dengan adanya liga kebangsaan B-15 dan B-16, ia akan dapat memberi peluang kepada pemain untuk menunjukkan kebolehan mereka di sepanjang musim.

“Ia membolehkan jurulatih dan pencari bakat kami memerhati dan mengenal pasti pemain berbakat yang berpotensi di seluruh negara di sepanjang musim dan bukan hanya melihat mereka secara ‘one-off’ dalam satu perlawanan persahabatan.

“Sama juga dengan cadangan saya untuk menambahkan lagi bilangan perlawanan dalam pertandingan Piala Belia dan Piala Presiden,” katanya.

Mengikut struktur liga peringkat bawah umur kebangsaan ketika ini, terdapat Liga Piala Menteri Pendidikan B-14, Liga Piala Remaja KPM-FAM B-17, Piala Belia B-18 dan Piala Presiden B-20. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI