KUALA LUMPUR – Kira-kira 50 pengamal media mula berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi liputan keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap 25 pertuduhan berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Keputusan diakhir pendakwaan kes itu dijangka pada pukul 9 pagi yang mana ia akan disampaikan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini hakim Mahkamah Rayuan.
Difahamkan kumpulan media yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan juruvideo sudah berkumpul sejak pukul 7 pagi selain terdapat beberapa penyokong yang turut hadir.
Keputusan kes 1MDB hari ini merupakan keputusan kes terbesar kali kedua yang dihadapi Najib selepas kes SRC International Sdn. Bhd.
Sebelum ini, mahkamah tarikh hari ini bagi keputusan kes selepas mendengar hujahan di akhir kes pendakwaan bermula 19 Ogos lalu, yang berlangsung selama 12 hari.
Pada Mei lalu, selepas enam tahun berlangsung, pihak pendakwaan yang mengendalikan itu akhirnya menutup kes itu yang mana prosiding kes berlangsung selama 235 hari.
Antara saksi penting yang dipanggil memberikan keterangan termasuklah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Najib didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama pada 22 Mac dan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang membawa denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE