fbpx

Juruukur tanah tak mengaku cuba bunuh 2 polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (kemeja-T merah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen George Town, hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

GEORGE TOWN – Seorang juruukur tanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan cuba membunuh dua anggota polis, pada 25 Oktober lalu.

Tertuduh, Ammar Faris Zainulkifli, 32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan yang didakwa berlaku di belakang Gurney Plaza, Jalan Kelawai, pukul 4.50 petang itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, Ammar Faris didakwa melakukan perbuatan dengan niat cuba menyebabkan kematian ke atas Lans Koperal Mas Safiq Azizan Matzrol dan Koperal Mohd Norhasmi Ab Razak, yang sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah, dengan cuba melanggar mereka menggunakan kereta jenis Honda Civic.

Pendakwaan terhadap tertuduh yang berasal dari Kubang Semang itu dikemukakan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun dan denda.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Jun Keong menawarkan wang jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh memohon ia dikurangkan memandangkan dia perlu menjaga ibunya yang sedang uzur.

Juraidah kemudiannya menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan terhadap tertuduh, manakala kes ditangguh pada 20 November ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI