PETALING JAYA – Seperti dijangka, jodoh Nidzam Jamil dengan Selangor FC tidak bertahan lama selepas pengendali dari Kajang itu mengambil keputusan untuk letak jawatan selaku ketua jurulatih serta-merta.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pengurusan Gergasi merah hari ini, pihak Nidzam telah memutuskan untuk letak jawatan tanpa sebarang alasan spesifik.
“Selangor FC mengumumkan bahawa Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil telah meletakkan jawatannya, berkuatkuasa serta-merta. Beliau memohon untuk mengundur diri dari mengemudi pasukan utama Selangor FC dan pihak kelab menghormati keputusan beliau.
“Kelab ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Nidzam atas sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Di bawah bimbingan beliau sebagai ketua jurulatih, Selangor FC kini sedang berada di antara kelompok teratas liga, muncul naib juara Piala FA musim ini, serta menduduki tempat teratas Kumpulan H untuk saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
“Beliau banyak memupuk semangat kompetitif di kalangan pemain, dan kepimpinan beliau memainkan peranan penting dalam mengekalkan prestasi pasukan sehingga kini.
“Tugas ketua jurulatih pasukan utama Selangor akan digalas oleh Abdi Hassan secara interim sementara kelab mengenalpasti ketua jurulatih baru.
“Selamat maju jaya dan terima kasih diucapkan kepada Nidzam atas segala sumbangan dan komitmen beliau kepada Selangor FC,” kata kenyataan tersebut.
Sebagai rekod, Nidzam sebelum ini dinaikkan pangkat menjadi ketua jurulati bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe pada Mac lepas.- KOSMO! ONLINE