GEORGE TOWN – Hukum individu Muslim terutama peminat-peminat filem barat atau Korea mempercayai perkataan ‘Oh My God’ dari sari kata yang dipaparkan di layar kaca adalah haram di sisi Islam.
Ini jawapan yang dinyatakan menerusi Portal Soal Jawab Islam tentang kemusykilan mengenai hukum syarak sekiranya perkataan yang membawa maksud Allah itu dibaca, sekali gus percaya bahawa God merujuk kepada Allah.
“Berdasarkan soalan yang ditanya, kami cenderung mengatakan bahawa mempercayai perkataan ‘Oh My God’ di dalam ‘subtitle’ dari filem barat atau Korea membawa maksud Allah adalah diharamkan.
“Kecuali jika terhindar dari unsur-unsur berikut: Menunjukkan kehinaan, ada unsur tasyabbuh (menyerupai) dengan non-muslim, boleh menimbulkan kekeliruan, boleh dikaitkan dengan konteks kesesatan, kebatilan dan pendustaan.
“Ini juga termasuklah unsur-unsur yang menggambarkan yang buruk pada Allah, meredai Tuhan orang bukan Islam, menutur di tempat yang tidak boleh contohnya dalam gereja dan boleh disamakan dengan agama-agama bukan Islam,” katanya di sini.
Dalam perkembangan berkaitan juga, portal tersebut turut menjawab pertanyaan mengenai hukum orang Islam merancang dan mengurus harta orang bukan Islam.
“Hukum memberikan perkhidmatan kepada non-Muslim dengan bayaran yang telah dipersetujui kedua belah pihak adalah harus dengan bersyarat.
“Syarat-syaratnya adalah dengan melakukan kerja-kerja yang dibenarkan dan harus dilakukan oleh seorang Muslim. Oleh yang demikian tidak harus untuk memberikan perkhidmatan atas tugas yang diharamkan seperti penjualan arak, menternak khinzir dan sebagainya,” jelasnya.
Antara syaratnya lagi adalah, kerja-kerja yang dilakukan bukanlah untuk memberi mudarat kepada Islam seperti membuat senjata untuk membunuh umat Islam atau bekerja dalam bidang penyiaran bagi memerangi Islam serta tidak terhalang seorang Muslim itu daripada melakukan amal ibadah yang difardukan ke atasnya.
“Kerja yang dilakukan itu tidak akan menjadikan seorang itu terhina dan menjatuhkan maruah sebagai seorang yang Muslim.
“Namun, sekiranya telah diyakini bahawa harta yang diuruskan itu adalah dari sumber atau harta yang haram maka hukum menguruskannya dan mengambil upah daripadanya adalah haram,” katanya. – KOSMO! ONLINE