PERKEMBANGAN industri e-dagang telah membawa kepada keperluan pengurusan perniagaan yang lebih efisien terutama dalam mengendalikan pesanan dan jualan secara lebih efektif.
Dengan peningkatan dalam jumlah inventori dan produk, kebergantungan terhadap tenaga buruh manusia juga semakin tinggi, namun pada masa sama meningkatkan lagi risiko kesilapan dalam operasi e-dagang.
Sehubungan itu, syarikat peneraju dalam penyelesaian e-dagang tempatan, AFM Fulfillment (AFM) menampilkan satu solusi menerusi inovasi gudang robotik pintar pertama di negara ini.
Menurut Pengerusi Eksekutif AFM Fulfillment, Mohammad Taufik Othman, inovasi itu memanfaatkan kecekapan dan ketepatan dalam pengurusan dengan mengintegrasikan sistem robotik.
Katanya, sistem itu merupakan pengurusan gudang pintar melalui penggunaan robot sambil mengurangkan kesilapan manusia dan kos buruh secara signifikan.
“Sistem ini diintegrasikan secara lancar dengan platform pemasaran dan kemudahan canggih yang menandakan lonjakan besar dalam industri e-dagang, selain menyediakan penyelesaian lebih pantas, lebih tepat serta boleh diskalakan mengikut perubahan pasaran.
“Dengan teknologi yang inovatif, kita mendefinisikan semula pengendalian pemprosesan pesanan dan pengurusan inventori perniagaan sambil menawarkan penjejakan prestasi masa nyata menerusi papan pemuka yang komprehensif,” katanya pada majlis pelancaran gudang robotik pintar pertama Malaysia untuk e-dagang di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Majlis disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Tambahnya, sistem robotik itu beroperasi membantu proses menyimpan dan menghantar barangan logistik apabila melalui peringkat proses pengurusan rantaian bekalan.
Robot itu direka dalam saiz sederhana dan mudah alih untuk mengautomasikan pergerakan barangan logistik, menjadikannya sesuai untuk gudang dengan susun atur dinamik.
Sistem robotik pintar tersebut bukan sahaja mampu menangani cabaran peningkatan permintaan, malah turut membentuk semula pasaran menerusi penggunaan teknologi canggih.
Sehingga hari ini sebanyak lapan buah robot dihasilkan dan telah membantu memaksimumkan produktiviti tanpa meningkatkan masa operasi. Ia melakukan kerja-kerja seperti penyusunan barang di gudang dan mengesan inventori.
Pencapaian ini telah membantu membina perniagaan yang boleh diskalakan, memaksimumkan ruang dan meningkatkan produktiviti pengusaha.
Katanya, kebolehskalaan sistem tersebut membolehkan pihaknya menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran yang semakin meningkat, memacu kecekapan operasi dan penjimatan kos.
“Sistem ini merupakan salah satu anjakan kepada penyelesaian e-dagang yang mana boleh dikembangkan ke bandar-bandar utama di Malaysia seperti Johor, Pulau Pinang, Malaysia Timur dan seterusnya ke seluruh rantau ini.
“Selain penyelesaian dalam logistik, inovasi untuk ekosistem lengkap juga boleh disesuaikan mengikut keperluan jenama e-dagang yang merangkumi pemasaran, jualan dan perkhidmatan,” ujarnya.
Pendekatan holistik ini juga boleh merangkumi kepada penyediaan inovasi yang diperlukan oleh perniagaan untuk berkembang dan berjaya dalam pasaran yang serba kompetitif.
Kedudukan gudang di lokasi strategik juga boleh berfungsi sebagai hab pengedaran berpusat, membolehkan pengusaha e-dagang memenuhi tahap tuntutan perkhidmatan yang tinggi seperti penghantaran dalam tempoh 24 jam atau penghantaran pada hari berikutnya.
Keupayaan sistem robotik pintar turut memaparkan kejayaan proses pengurusan menyeluruh yang serba lancar, menggariskan komitmen untuk meningkatkan lagi tahap kecekapan dan kebolehskalaan sektor e-dagang di Malaysia.
“Inovasi seumpama ini merupakan standard baharu dalam industri e-dagang dan pada masa sama dapat membantu pengusaha meminimumkan kesulitan untuk mengembangkan perniagaan susulan masalah inventori.
“Melalui inovasi teknologi, kerjasama strategik dan tawaran perkhidmatan yang komprehensif, kita mampu merevolusikan industri serta berdiri seiring negara maju,” jelasnya.