RAMAI terkejut apabila penyanyi tersohor Ari Lasso mendedahkan perkahwinan yang dibina selama 25 tahun dengan Vitta Dessy musnah lapan bulan lalu.
Biarpun bersedih, rata-rata memuji sikap bekas vokalis Dewa 19 itu yang langsung tidak memburuk-burukkan bekas isterinya.
Bahkan, Ari mengakui tidak selesa mendedahkan berita tersebut kerana tiada yang penting untuk dihebohkan terutama berkaitan hal peribadi.
Menerusi pengumuman dalam Instagram, dia turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Vitta yang pernah bersamanya ketika susah dan senang.
Baginya, tiada sebab untuk mendedahkan punca perpisahan mereka atau bermusuh sekali gus membuatkan netizen membandingkan sikapnya dengan artis lain.
Rata-rata menyokong tindakan vokalis terbabit yang disifatkan sangat bertimbang rasa dan menjaga aib bekas pasangan.