KESEJAHTERAAN sosial terutamanya menerusi reformasi strategik Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri pada 18 Oktober 2024 menjadi kayu ukur utama dalam percaturan pembangunan mampan dan juga kemajuan nasional.
Ini termasuk pembelajaran sepanjang hayat dan juga kapasiti infrastruktur serta modal insan yang menjadi tunjang dalam pencapaian objektif ini.
Ia ditambahkuatkan dengan suntikan kerajaan berupa peruntukan sejumlah RM18 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.
Pembangunan kapasiti modal insan dan juga pencapaian dalam sektor kritikal meliputi teknologi, digital, keterjaminan keselamatan sumber dan rantaian bekalan serta kemajuan bidang tujahan baharu seperti kepintaran buatan, ekonomi digital, sumber tenaga baharu dan hijau serta mineral.
Manfaat dan impak kepada masyarakat umum perlu memberi kesan langsung pada domain kemajuan mobiliti sosial di mana peluang untuk berkembang dan meningkatkan kedudukan sosial perlu berasaskan platform pendidikan tinggi berkualiti dan peluang yang meluas bagi semua.
Hanya melalui pendidikan tinggi dan akses kepada pendidikan menyeluruh, ia akan memberi impak langsung kepada manfaat peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan isi rumah, usaha menangani isu sosial dan kadar kemiskinan, meningkatkan kemakmuran pendapatan isi rumah gabungan serta memberi kesan langsung kolektif kepada kemajuan status ekonomi dengan peningkatan kapasiti modal insan serta bakat berkemahiran tinggi.
Oleh itu, peruntukan kepada penyelidikan baharu, bidang saintifik kritikal dan sektor pendidikan tinggi keseluruhan adalah penting dalam menyediakan impak pelbagai penjuru kepada sektor-sektor kritikal dalam negara dan pada masa sama menyediakan penyelesaian kemelut sistemik.
Ini akan menutup jurang geografi, demografi, ekonomi, sosial, budaya, pendapatan dan pembangunan yang masih wujud dan telah menjadi halangan dalam usaha negara untuk menjadi sebuah negara maju yang seimbang dengan konsep kemakmuran, kemajuan, negara berpendapatan tinggi selaras konsep Madani dan pertumbuhan seimbang masa depan.
Kedatangan cabaran baharu serta perubahan pesat dalam arena geopolitik, keselamatan dan teknologi akan menuntut agenda reformasi baharu yang berani serta transformasi dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan.
Cabaran dan impak langsung ancaman konvensional dan bukan konvensional daripada peningkatan konflik keselamatan dan ketegangan sehingga kepada kesan perubahan iklim berterusan serta domain keselamatan tenaga dan makanan, semuanya memerlukan universiti berani dalam perubahan struktur untuk memenuhi keperluan masa depan, bukan hanya menyediakan solusi isu-isu ini, tetapi juga bertindak sebagai pemacu pembinaan negara dan kemajuan tamadun.
Tumpuan utama harus diberikan kepada strategi dua hala iaitu membangunkan modal insan bertaraf dunia dan holistik serta hasil penyelidikan yang kukuh dan berdaya tahan yang boleh menjadi asas utama peralihan negara ke arah negara berpendapatan tinggi dengan diperkukuh asas ekonomi dan teknologi bertaraf global bagi mencapai status negara maju.
Dalam mencapai matlamat dua hala ini, pelaburan yang betul mesti dibuat dalam bidang teknologi menyeluruh dan sokongan infrastruktur dalam sistem pengajaran dan pembelajaran serta dalam ekosistem penyelidikan yang harus menjadi pemudah dalam menyediakan pelajar, penyelidik, dan ahli akademik dengan aset nyata komprehensif terkini.
Selain itu, langkah seterusnya adalah melabur dalam mendapatkan modal insan terbaik untuk membangunkan bakat tempatan dan generasi baharu kita sendiri.
Pelaburan dalam keupayaan fizikal dan keupayaan insani mesti dilakukan secara serentak dalam menyemarakkan sistem sokongan komprehensif dalam reformasi baharu sistem pendidikan tinggi.
Jurang utama yang masih wujud ialah ekosistem standard dan kualiti keseluruhan dalam penyelidikan serta domain akademik yang tidak sepenuhnya menangani permintaan selain keperluan utama perubahan pesat isu dan cabaran global dalam inti pati pengurusan punca masalah.
Kelemahan struktur ini disebabkan oleh jurang yang semakin meningkat dalam tahap standard dan kualiti kedua-dua sokongan teknologi dan modal insan.
Oleh itu, kita perlu menangani kekurangan pembiayaan dalam bidang pertumbuhan geostrategik kritikal dan pulangan kepada negara dalam bidang peralihan tenaga, teknologi tinggi dan ekonomi digital, kemajuan saintifik, kesihatan dan lain-lain yang memerlukan sokongan pembiayaan jangka panjang, infrastruktur serta modal insan konsisten dan tertumpu.
Ini bagi memastikan institusi tempatan kita dapat mengukuhkan asas dan fundamental mereka untuk merapatkan jurang dengan institusi terkemuka dunia terutama dalam lapangan pembiayaan penyelidikan kritikal seperti dalam bidang kesihatan dan penyakit; iklim dan alam sekitar; tenaga, digitalisasi serta peralihan ekonomi.
Bidang kemajuan digital dan kepintaran buatan (AI) akan kekal sebagai salah satu bidang kritikal yang paling penting dan memberi pulangan strategik kepada negara dalam usaha kita untuk mencapai transformasi teknologi dan ekonomi.
Pendekatan holistik dan top down approach di universiti adalah perlu dan strategik dalam konteks tertentu serta mesti dirancang dengan teliti untuk memastikan keseragaman dan kesepaduan di peringkat akar umbi yang merangkumi pelbagai jurang geografi, politik dan ekonomi di negara ini.
Pelan komprehensif diperlukan untuk memastikan institusi utama di negara ini menerima sistem sokongan dari atas ke bawah dalam membangunkan pertumbuhan AI yang tertumpu sekali gus melengkapkan rancangan pertumbuhan lain dalam bidang digital.
Adalah penting untuk memastikan tiada pertindihan dan pembaziran dalam sumber pembiayaan, pembangunan saluran dan trajektori masa depan untuk memberi pulangan terbaik kepada negara. Perkongsian pintar melalui sinergi atau kerjasama awam-swasta juga merupakan cara terbaik untuk memastikan kos dikurangkan, kepakaran digalakkan serta kecekapan dimaksimumkan.
AI kekal sebagai teras utama usaha ini dan sokongan pembiayaan tertumpu dengan hasil jelas dan impak nyata mesti dimulakan untuk membina ekosistem pembangunan AI jangka panjang dalam menggabungkan domain AI yang komprehensif dalam keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi dan bidang berkaitan.
Pelbagai inisiatif termasuk Pelan Induk Perindustrian Negara 2030, Strategi Semikonduktor Negara dan Pelan Peralihan Tenaga Negara dengan sifar karbon bersih menjelang 2050, semuanya memerlukan penggunaan AI yang pintar di semua peringkat.
Ini termasuk memastikan bahawa pelaksanaan dan pengoperasian AI yang akan didorong oleh masa depan dan jangka panjang tangkas, berdaya tahan serta tidak mengulangi kesilapan masa lalu dalam perancangan selain penyelarasan yang lemah dari segi pemetaan, perancangan, pengagihan, pelaksanaan, serta konsistensi penyelenggaraan dan pertumbuhan.
Untuk negara terus maju, ia memerlukan kemajuan selari dan sama rata dari semua sektor untuk berkembang secara seiring dengan pendidikan tinggi menyediakan asas utama bagi semua alat ekonomi, keselamatan, saintifik serta kebudayaan dan agama yang kuat untuk berkembang.
Strategi dan dasar yang kita rancang sekarang akan menentukan kadar daya saing ekonomi kita serta ia mesti dilakukan dengan perancangan, perkiraan teliti dan berpandangan jauh di peringkat pusat bagi memastikan kesepaduan dan ketangkasan industri dalam menyesuaikan diri dengan perubahan dan cabaran masa depan.
Penulis merupakan Naib Canselor Universiti Malaya dan Felo Akademi Sains Malaysia.