KUALA LUMPUR – Pelumba Itali, Francesco Bagnaia melaungkan amaran bahawa dia akan berjuang habis-habisan dalam misi mempertahankan gelaran dunia yang pernah diraihnya pada 2022 dan 2023 sekali gus tekad mencipta kejutan ketika turun di Grand Prix (GP) Malaysia pada hujung minggu ini.
Bagnaia yang beraksi bersama pasukan Ducati kini berada dalam momentum terbaik apabila mencipta kemenangan di GP Thailand baru-baru ini sekali gus merapatkan kedudukan di tempat kedua di belakang pesaingnya, Jorge Martin dengan hanya 17 mata.
Bagnaia menegaskan dia dan pasukannya bersedia memberi tekanan kepada seteru utamanya itu hingga ke garisan penamat biarpun Martin dijangka akan memberi tentangan sengit ketika bersaing di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) nanti.
“Malaysia adalah litar yang bagus untuk kami, dan saya sentiasa berasa kuat di sini. Kemenangan di Thailand memberi semangat tambahan kepada saya dan pasukan untuk terus berjuang hingga penghujung perlumbaan.
“Saya sentiasa percaya dengan apa yang boleh saya lakukan dan saya sentiasa yakin dengan kemampuan pasukan. Selagi ada peluang, saya akan berusaha lebih gigih. Saya sentiasa seperti ini dan akan menjadi seperti ini pada setiap musim kerana saya sentiasa mencuba maksimum yang boleh,” katanya.
Cuaca yang tidak menentu di Sepang nanti mungkin mencetuskan cabaran tambahan, tetapi pengalaman Bagnaia dalam mengendalikan situasi sukar di Thailand membuktikan dia bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.
“Bertarung di tahap ini memang mencabar, terutama sekali menentang pelumba hebat seperti Martin. Namun, saya sudah biasa dan percaya kami mampu mengatasi segala rintangan,” ujarnya.
Bagnaia tidak boleh melakukan sebarang kesilapan pada hujung minggu ini di Sepang kerana sekiranya dia gagal menamatkan perlumbaan pecut Sabtu dan perlumbaan utama Ahad, secara kiraan matematik, Martin berpotensi mengesahkan gelaran MotoGP 2024. -AFP
habis