PUTRAJAYA – Malaysia mengalu-alukan kejayaan pemilihan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Presiden Sesi Ke-13 Perhimpunan Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa (IACA).
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, pemilihan yang berlangsung di Vienna, Austria, hari ini dimuktamadkan secara sebulat suara dan merupakan satu pencapaian bersejarah.
Katanya, ia memandangkan Malaysia buat julung kalinya diberi penghormatan memegang jawatan tersebut.
“Ia mencerminkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen Kerajaan Madani dalam usaha memerangi rasuah.
“Ia juga menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Azalina dalam reformasi undang-undang dan tadbir urus,” katanya hari ini.
Wisma Putra berkata, IACA ditubuhkan pada 2011 di Austria yang mana fungsi utama badan ini ialah sebagai pusat kecemerlangan dan penyelidikan antarabangsa bagi pembanterasan rasuah.
Ujar kenyataan itu, IACA juga bertindak menjadi pusat latihan utama bagi kumpulan profesional terutamanya dalam kalangan agensi-agensi pencegahan rasuah.
Malaysia, melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan aktif dalam IACA dan pernah memegang jawatan Naib Presiden Perhimpunan Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa sebanyak empat kali sebelum ini.
“Malaysia merakamkan penghargaan di atas kepercayaan dan sokongan padu yang diberikan oleh anggota IACA di atas pemilihan Azalina.
“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama erat dengan IACA dan rakan-rakan perkongsian strategik dalam memacu agenda anti-rasuah dan menegakkan prinsip keadilan dan tatakelola yang baik di peringkat antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE