fbpx

Anak padi tujuh hari berisiko mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BASHAH (kiri) dan Romli menunjukkan sebahagian sawah yang ditenggelami banjir di Kawasan Dulang Besar, Yan sejak Jumaat lalu.

YAN – Lebih 100 pesawah yang menyertai Program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) MADA 2, T17 dalam Kawasan Dulang Besar, di sini resah apabila tanaman padi mereka berisiko musnah setelah terendam banjir sejak Jumaat lalu.

Kejadian banjir itu dipercayai berlaku selepas Sungai Dulang Besar yang terlibat dengan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) menjadi sempit sehingga air melimpah ke sawah.

Pesawah, Romli Hashim, 64, berkata, sawah seluas kira-kira 2.5 hektar diusahakannya ditenggelami air lebih setengah meter.

“Anak padi yang baru berusia tujuh hari ditenggelami air bercampur lumpur. Berdasarkan cuaca sekarang kemungkinan akan hujan lagi dan menambah limpahan air. Tanaman ini be­risiko tinggi untuk mati jika te­rendam dalam masa lebih lama,” katanya di sini semalam.

Katanya, bagi musim penanaman yang lalu, dia memperoleh pendapatan agak lumayan sehingga mencecah RM5,000 sehektar.

“Musim ini belum tahu bagaimana kerana keadaan cuaca masih tidak menentu,” ujarnya.

Seorang lagi pesawah, Bashah Din, 69, berkata, pokok padi yang baru tumbuh perlu pengawasan rapi serta tidak boleh terendam air dalam tempoh lama.

“Jika keadaan ini berlarutan kami perlu mengulangi semula proses menanam. Kos akan bertambah seperti upah membajak semula petak sawah, menabur, membeli benih dan meracun.

“Sudah tentu secara langsung akan menjejaskan pendapatan kami. Pada musim lalu hasil tu­aian di sini agak tinggi,” jelasnya.

Dakwa Mehat Saman, 68, yang mengusahakan sawah seluas kira-kira lima hektar, limpahan air yang menenggelamkan sawah itu juga mengandungi air beracun.

“Sekarang merupakan musim meracun dan kelewatan air me­ngalir akibatkan pokok padi kami mati kerana lama ditenggelami air beracun,” katanya.

Sehubungan itu, mereka meminta pihak berkuasa terutama MADA dan Unit Peladang Kawasan Dulang Besar mencari jalan untuk membolehkan air Su­ngai Dulang Besar mengalir ke laut dengan cepat dan tidak lagi melimpah masuk ke petak sawah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI