SHAH ALAM – “Saya single. Tolong carikan girlfriend untuk saya.”
Demikian respons pelakon sensasi, Amir Ahnaf saat diajukan soalan tentang status terkini dirinya.
Menurut Amir atau nama lengkapnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin , 24, dia kini lebih selesa untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya lakonan yang semakin rancak berkembang.
“Memang betul saya single sekarang. Sekarang ini selain berlakon saya juga aktif mengikuti aktiviti larian bersama kumpulan Challo setiap hujung minggu.
“Shout out to Challo Run kerana memberi inspirasi serta galakan kepada generasi muda untuk amalkan hidup sihat,” katanya kepada Kosmo! Online.
Biarpun baru setahun jagung bergelar anak seni, namun nama Amir yang meledak menerusi drama Project: High Council itu sering dihimpit kontroversi.
Terbaharu, dia dikatakan menjalin hubungan dengan seorang wanita dari Singapura selepas foto mereka bersama tersebar. Namun, dia menafikan bahawa lelaki di dalam foto tersebut adalah dirinya.
Ditanya adakah dia ralat apabila terpalit dengan kontroversi seperti itu, kata Amir dia mengambil pendekatan dengan duduk di rumah menonton Netflix sebagai medium melupakan masalah.
“Setiap kali saya balik rumah, saya buka kasut, letak beg terus duduk di atas sofa dan menonton filem dalam Netflix.
“Saya ikut nasihat pengarah filem Kahar: Kapla High Council yang meminta saya untuk banyak menonton filem agar dapat memantapkan skil lakonan saya,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Amir bakal muncul dengan filem Kahar: Kapla High Council yang akan ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 28 November 2024. – KOSMO! ONLINE