JASIN – Seorang wanita hanya mampu ‘gigit jari’ apabila wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah lebih RM80,000 miliknya lesap gara-gara terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud, sejak Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa yang merupakan bekas setiausaha syarikat swasta berusia 50 tahun tertarik dengan iklan skim pelaburan di Facebook.
“Mangsa kemudian berhubung dengan individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp sebelum diarahkan membayar wang pendaftaran sebanyak RM1,235 untuk menyertai pakej pelaburan dengan keuntungan RM8,000.
“Sistem itu kemudian menunjukkan wanita itu mendapat keuntungan kali pertama sebanyak RM8,000 lalu membuatkannya yakin dan untuk menambah pelaburan bagi mendapatkan keuntungan lebih besar,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudian mengeluarkan wang simpanan KWSP miliknya dan membuat beberapa transaksi secara berperingkat ke dalam beberapa akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM82,175 sejak Julai lalu.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal membuat pengeluaran keuntungan yang dijanjikan sebaliknya diarah membuat bayaran tambahan RM20,000 sebagai cukai pengeluaran wang.
“Ekoran itu, mangsa hadir ke Balai Polis Jasin untuk membuat laporan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya.
Pada 24 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kontinjen negeri ini merekodkan kerugian terkumpul lebih RM61 juta melibatkan aktiviti scammer sejak tahun ini, dengan putara kerugian RM200,000 sehari.
Jumlah itu didedahkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem melalui hantaran di Facebook bagi mengingatkan rakyat Melaka agar tidak menjadi tamak sehingga menjadi mangsa scammer.
Katanya, secara purata, penduduk Melaka mengalami kerugian RM200,000 sehari selepas terpedaya dengan skim cepat kaya meskipun pelbagai program kesedaran sudah dilakukan oleh Polis Kontinjen Melaka.