SUBANG JAYA – Tangkapan dua pengedar dadah membawa kepada pembongkaran stor syabu bernilai RM10.9 juta di sebuah kediaman rumah teres di Bandar Bukit Puchong, di sini, Jumaat lalu.
Penahanan serentak sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (JSJN) dilakukan pada pukul 10.50 malam.
Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 34 tahun yang menaiki kereta jenis Proton Saga di Bandar Sri Petaling, Kuala Lumpur.
Katanya, tangkapan seterusnya membabitkan seorang lelaki berusia 30 tahun berperanan sama ketika menaiki sebuah kereta jenis Hyundai Sonata kira-kira 500 meter dari lokasi tangkapan pertama.
“Suspek telah membawa kepada sebuah rumah teres yang mana terdapat 319 bungkusan plastik di dalamnya mengandungi 329.5 kilogram (kg) syabu.
“Dadah tersebut disimpan di dalam sebuah bilik tingkat bawah dan turut ditemui bersama ada dua alat penimbang. Dadah ini dianggarkan boleh digunakan lebih 1.6 juta penagih,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.
Jelas beliau. kedua-dua suspek telah aktif melakukan aktiviti itu sejak satu tahun yang lalu dengan mengambil upah RM5,000 hingga RM7,000 sebulan.
“Siasatan mendapati premis tersebut turut disewa pada kadar RM1,800 sebulan.
“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan rumah sewa sebagai stor edar dadah sebelum edar untuk pasaran tempatan,” katanya.
Tambah Kok Chin, sejumlah barang kemas dan dua buah kereta milik suspek juga dirampas berjumlah RM70,270.
Tegas beliau, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pihak polis masih mengesan bagi sindiket yang masih bebas untuk diheret ke muka pengadilan dalam usaha memerangi dadah musuh nombor satu negara,” katanya.-KOSMO! ONLINE.