fbpx

Saman tanah runtuh Batang Kali: Kerajaan Selangor rujuk penasihat undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amiruddin pada sidang akhbar Majlis Penembusan Terowong Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak, hari ini. -Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

GOMBAK – Kerajaan Selangor akan mendapatkan pandangan penasihat undang-undang berhubung tuntutan saman yang dibuat oleh mangsa dan ahli keluarga individu yang maut dalam kejadian tanah runtuh Batang Kali, dua tahun lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata, pihaknya sudah menjelaskan insiden tersebut menerusi laporan yang dikeluarkan sebelum ini.

“Namun, terpulang kepada mereka jika mereka rasakan ada kelalaian atau ketidakpuashatian.

“Saya jelas (sebelum ini), secara keseluruhan laporan (tanah runtuh) itu boleh dikonklusikan sebagai natural disaster (bencana). Tapi tak apa, saya akan rujuk kepada penasihat undang-undang untuk menangani hal tersebut (saman),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penembusan Terowong Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak, di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan, seramai 23 mangsa dan ahli keluarga individu yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada 2022 menyaman kerajaan Selangor dan enam yang lain kerana didakwa gagal menunaikan tanggungjawab serta kecuaian.

Pihak lain dinamakan ialah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

Turut dinamakan ialah BL Agro Sdn Bhd, Malaysia Botanical Gardens Resort Sdn Bhd dan Infrasel Sdn Bhd.
Mereka menuntut ganti rugi am dan teruk serta kerugian tidak ketara yang tidak terhad kepada kesakitan dan penderitaan, tekanan emosi serta mental termasuk ganti rugi khas berjumlah RM1,220,406.84.

Pada 16 Disember 2022, tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor telah mengorbankan seramai 31 orang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI