fbpx

Ramai goda tapi saya tunduk, terus balik rumah – Jamal Abdillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamal mengakui menerima banyak godaan daripada ramai wanita pada usia 65 tahun. - AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Sudah mencecah usia 65 tahun, penyanyi Datuk Jamal Abdillah mengakui masih berdepan godaan wanita yang sentiasa dielakkan demi menjaga kerukunan rumah tangga dengan isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd. Ali, 65, berkata, pada umur yang sudah melebihi separuh abad, kesejahteraan keluarga adalah perkara paling utama dalam kehidupannya.

“Memang masih ada sahaja yang minat dekat saya, tetapi apabila ada wujud unsur sebegitu (godaan), saya akan tunduk dan terus jalan balik rumah.

“Saya selalu elakkan dan tak nak fikirkan tentang hal itu kerana dalam fikiran sudah sentiasa tanamkan bahawa saya adalah seorang suami serta bapa.

“Anak pun dah nak masuk lima orang. Cukuplah buat perkara yang menyusahkan anak-anak. Saya pun dah tua, mahu tenang,” katanya selepas sidang media Konsert Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura, hari ini.

Pernah berdepan kegagalan dalam tiga perkahwinan terdahulu, penghibur yang digelar Raja Pop itu menyifatkan semua dilalui sebagai satu proses kehidupan.

Begitupun, bersandarkan pengalaman Jamal yang diminta mengulas mengenai berita perceraian ramai pasangan selebriti dalam tempoh terdekat ini menolak dakwaan situasi tersebut sebagai trend.

“Kita buat apa yang kita perlu buat dan dah rancang, selebihnya biar Allah yang tentukan, begitu juga dengan rumah tangga artis.

“Saya tak ikuti perkara itu (berita perceraian selebriti), tetapi yakin mereka juga melalui proses kehidupan, kena tempuh jugalah. Kita berbalik kepada ketentuan Allah,” ujarnya.

Menerusi perkahwinan kali keempat yang kini sudah memasuki tujuh tahun, Jamal dan isterinya bakal menimang cahaya mata kelima pada Januari 2025.

Penyanyi lagu Kekasih Awal dan Akhir itu turut mempunyai dua anak daripada perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 23, dan Zaki Yamani, 18.

Berkongsi pula persediaan konsert di Zepp Kuala Lumpur, Jamal memilih konsep 80-an bertepatan fenomena dicetuskan filem Azura yang ditayangkan pada tahun 1984.

Katanya, persembahan mega solo di lokasi berprestij itu akan menyaksikannya membawakan lebih 16 lagu termasuk duet bersama penyanyi undangan, Wany Hasrita.

“Banyak perancangan masih diperincikan namun konsep kali ini saya tampil tanpa sut, sebaliknya jeans, jaket dan baju T bersesuaian seleksi hits yang disenaraikan.

“Deretan dendangan antaranya mungkin yang jarang saya bawakan secara ‘live’ tetapi menjadi siulan peminat, malah selain Wany ada beberapa artis jemputan lain,” katanya.

Konsert Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura anjuran Live Injection dan NJ Resourses menawarkan tiket antara RM360 sehingga RM7,500 (8 orang VIP Box) menerusi Ticket2u.com. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI