JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan semua menteri Kabinet menggunakan kenderaan buatan tempatan dan bukan model mewah dari luar negara, lapor portal berita detikOto semalam.
Prabowo sendiri menggunakan kenderaan buatan tempatan, Maung Pindad MV3 Garuda Limusin selepas dilantik menjadi Presiden pada 20 Oktober lalu.
Beliau juga meminta timbalan menteri dan ketua jabatan menggunakan kenderaan tersebut.
“Minggu depan saya akan mula memakai kenderaan Maung ini kerana Pak Prabowo sudah menyatakan bahawa tidak ada lagi kenderaan import untuk kegunaan ketua jabatan hinggalah kepada menteri,” kata Timbalan Menteri Kewangan, Anggito Abimanyu.
Menurutnya, PT Pindad merancang untuk menggunakan komponen tempatan sehingga 70 peratus.
Kenderaan Maung Pindad dihasilkan oleh syarikat PT Pindad dengan menggunakan enjin turbo diesel 2,200 cc dan mampu bergerak selaju 100 kilometer sejam. – AGENSI