PETALING JAYA – Kementerian Luar Negeri menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung dakwaan penemuan MyKad dan lesen memandu Malaysia di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.
Wisma Putra berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan penularan maklumat tersebut dan sedang mendapatkan kepastian daripada pihak berkuasa berhubung perkara itu.
“Kami dengan hormatnya memohon pihak media dan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tegas kenyataan itu, keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah tanggungjawab individu masing-masing.
“Walaupun, Pejabat Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, adalah penting semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menyemak kesahihan maklumat terbabit.
“Buat masa ini PDRM sedang menyemak sama ada ia benar atau sebaliknya dan kita juga berhubung dengan Kementerian Luar Negeri bagi mendapatkan maklumat,” katanya
Terdahulu, tular sekeping gambar yang menunjukkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.
Ia didakwa ditemukan selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.-KOSMO! ONLINE