KOTA BHARU – Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman, Datuk Mohd. Yusoff Mamat dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Majlis penyerahan serah terima tugas itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby memangku tugas Datuk Muhamad Zaki Harun yang bersara wajib pada 31 Ogos lalu.
Mohd. Yusoff dalam ucapannya berkata, beliau akan melaksana tugas dengan penuh dedikasi, intergriti dan memastikan dasar-dasar kerajaan untuk kesejahteraan rakyat berjalan lancar seperti saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
“Terima kasih kepada pucuk pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab ini.
“Ia merupakan satu tanggungjawab dan tugas besar yang diberikan untuk menerajui IPK Kelantan,” katanya. – KOSMO! ONLINE