fbpx

[VIDEO] Minyak masak peket diborong, peruncit ‘cair’ pujukan warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORENA bersama pegawai penguat kuasa melakukan pemeriksaan minyak masak peket yang dijual sebuah kedai runcit di Taman Mewah, Kelemak, Melaka, hari ini. -Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

ALOR GAJAH – Seorang peniaga kedai runcit memberikan alasan tidak tahan dengan pujuk rayu warga asing sehingga membiarkan golongan itu ‘memborong’ minyak masak peket bersubsidi untuk kegunaan kedai makan di Taman Mewah, Kelemak, di sini, hari ini.

Perbuatan wanita berusia 40-an itu terbongkar selepas premisnya diserbu pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka yang melakukan pemeriksaan Op Kita Gempur bermula pukul 10.30 pagi sehingga 12 tengah hari tadi.

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, hasil soal siasat, wanita terbabit dikesan menjual sekurang-kurangnya 10 minyak masak peket bersubsidi pada setiap pembelian oleh peniaga warga asing berkenaan.

“Kedai runcit ini telah beroperasi lebih daripada 10 tahun dan kita percaya pemilik premis telah menjual minyak masak peket bersubsidi kepada warga asing yang menguruskan kedai makan berhampiran.

“Peruncit ini memberi alasan tidak sampai hati melihat warga asing merayu memintanya menjual minyak masak peket dan terpaksa melakukannya kerana mereka merupakan pelanggan tetap,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi di Taman Mewah, hari ini.

Tambah Norena, susulan kejadian itu pihaknya telah membuka satu kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap kedai runcit berkenaan.

Dalam pada itu Norena berkata, pihaknya juga sedang giat melaksanakan program pemutihan kedai runcit bagi mengesan ketirisan penjualan minyak masak peket bersubsidi.

Menurutnya, setakat ini empat kes telah dihasilkan membabitkan pelbagai kesalahan.

“Dua kes membabitkan kedai runcit dikendalikan warga asing dan masing-masing satu kes kedai makan dipercayai menggunakan minyak masak peket serta peniaga disyaki menjual lebih daripada tiga peket.

“Bagi operasi pemutihan pemborong, kita berjaya menghasilkan lapan kes dan dibawa mengikut saluran yang betul sama ada ke mahkamah atau dikenakan kompaun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI