KLANG – Seekor ikan baji seberat 1.095 kilogram (kg) membawa tuah buat Muhammad Mutawalli Mohd. Adnan apabila menjadi juara Pertandingan Memancing Terbuka Selangor di Pantai Tanjung Harapan, di sini Sabtu lalu.
Muhammad Mutawalli yang membawa pulang wang tunai RM20,000 menewaskan peserta lain, Zamiruddin Mohd. Yusof yang menaikkan ikan semilang 0.78kg dan Salehuddin Mohd. Noor yang menaikkan ikan baji 0.74kg.
Lebih menggembirakan lelaki itu turut menerima tambahan wang tunai RM3,000 yang ditawarkan penganjur sekiranya pemenang adalah penduduk Selangor.
Katanya, dia tidak menyangka ikan baji yang dinaikkan pada pukul 8.45 pagi mampu bertahan pada kedudukan juara sehingga pertandingan tamat.
“Berbekal umpan ulat perumpun, saya memburu spesies bersisik seperti senangin, tetapi baji yang memakan umpan. Alhamdulilah, ini rezeki terbaik saya pada tahun ini,’’ kata lelaki dari Kajang itu.
Pertandingan anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu menarik penyertaaan kira-kira 600 kaki pancing.
Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian dan Perladangan, Keterjaminan Makanan & Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim. Turut hadir Timbalan Pengarah LKIM, Dzulkarnain Othman. – KOSMO! ONLINE