fbpx

‘Mahu baik tapi siapa sudi derma paru-paru?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Ain (kanan) menjaga Helmie Dasukie (kiri) yang menderita penyakit paru-paru berparut ketika ditemui di Kampung Losong Atap Zin, Kuala Terengganu baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah kini menjadi ketua keluarga selepas suaminya terlantar akibat penyakit paru-paru berparut sejak lebih setahun lalu.

Penjawat awam, Nurul Ain Mohd. Yacob, 35, berkata, suaminya, Helmie Dasukie Suhaimi, 37, terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan sejak menderita penyakit progressive fibrotic lung disease pada September tahun lalu.

Katanya, ekoran itu suaminya hanya mampu terlantar di atas katil kerana tidak boleh bergerak dengan sendiri.

“Berdasarkan pakar perubatan, penyakit suami saya amat kronik dan hanya boleh diubati dengan pemindahan paru-paru penderma,” katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Losong Atap Zin di sini baru-baru ini.

Menurut Nurul Ain, keadaan kesihatan suaminya kurang memuaskan itu menyebabkan dia kerap pengsan dan perlu dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Ibu kepada dua anak itu berkata, anak sulungnya, Dhuha Aina, 7, banyak membantu menjaga bapanya walaupun merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) kategori mild autism.

“Kos perubatan suami me­rangkumi peralatan rawatan, susu khas dan makanan tambahan mencecah RM5,000 sebulan.

“Saya juga sedang be­kerja keras mengumpul dana RM100,000 bagi membiayai pemindahan paru-paru penderma buat suaminya suatu hari nanti,” katanya.

Sehubungan itu, Nurul Ain yang berpendapatan kira-kira RM2,000 sebulan mengakui terpaksa mengikat perut berjimat cermat selain sewa rumah yang kini didiami mereka telah tertunggak lebih tiga bulan.

Walaupun mereka sering makan berlaukkan telur goreng de­ngan kicap, dia tetap ber­syukur menerima bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang menerusi akaun bank CIMB milik Helmie Dasukie di 7610797196 atau menghubungi Nurul Ain di talian 011-1126 7086.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI