PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio belum sedia untuk ‘bermain bunga api’ lebih awal dan menganggap perjalanan pasukan untuk memastikan kejuaraan Liga Super kali ke-11 masih lagi jauh.
Kemenangan 3-0 ke atas Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin meletakkan Harimau Selatan berkelebihan lapan mata berbanding Gergasi Merah yang kini dianggap sebagai pencabar tunggal.
Mengambil kira baki 12 perlawanan lagi yang perlu diharungi, Bidoglio lebih selesa dengan sikap merendah diri kerana secara matematiknya kedudukan JDT belum lagi selamat walaupun selesa mendahului saingan.
“Semua perlawanan awal sukar, jadi tiga mata adalah sangat penting. Tetapi, kami kena harungi satu demi satu perlawanan dan kami masih ada banyak perlawanan yang perlu diharungi.
“Pada pendapat saya, sejak daripada awal musim hingga sekarang kami menunjukkan perkembangan dan semua pemain ada tanggungjawab ketika bertahan mahupun menyerang. Saya gembira dengan prestasi semua pemain, namun kami kena terus bekerja keras.
“Kami kena tingkatkan lagi kemahiran individu dan cara permainan berpasukan. Ini penting kerana kami akan harungi musim yang panjang dan kami tahu selepas ini kami akan hadapi aksi penting,” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, Bergson Da Silva menyumbangkan dua gol buat Harimau Selatan diikuti satu jaringan daripada Romel Morales.